Friday, December 25, 2009

renungan bersama

Jamak Kesuntukkan Masa

Soalan: Boleh seseorang yang amat tertekan dengan kesuntukan masa, seperti peperiksaan menjamakkan solatnya?

Jawapan: Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu diterangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak.

Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar.

Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr.

Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asr, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga Maghrib dan Isyak. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:

صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا سَفَرٍ قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ فَسَأَلْتُ سَعِيدًا لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَالَ سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي فَقَالَ أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ

“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya:

جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ

“RasululLah s.a.w solat Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.

Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.

Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang telah ditetapkan. Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar.

Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menanaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika menyukarkan maka ketika itu diizin.

Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

renungan

Hukum Kenduri Arwah

Soalan: Apakah agama menyuruh kita mengadakan kenduri atau jamuan sempena kematian seseorang yang dinamakan dengan kenduri arwah. Sesetengah ‘ustaz’ akan mencerca sesiapa yang tidak mahu buat dan menganggap sesiapa yang tidak buat kenduri arwah macam tidak menghormati mazhab al-Syafi’i. Apakah ini benar?


Jawapan: Sesuatu yang hendak dikaitkan dengan agama ini mestilah mempunyai dalil yang membuktikannya. Dalam masalah jamuan sempena kematian, sahabat Nabi bernama Jarir bin ‘Abdillah al-Bajali menyebut:

كُنَّا نَرَى الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنْ النِّيَاحَةِ

Kami menganggap berhimpun kepada keluarga si mati dan menyediakan makanan termasuk dalam (hukum) al-Niyahah (meratapi mayat) (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah; sanadnya sahih)

Berdasarkan kepada hadith, maka kenduri arwah bukan dari ajaran Islam, ia menyerupai perbuatan meratapi mayat yang dilarang oleh syarak. Maka, amalan itu adalah warisan jahiliyyah yang para sahabah elakkannya.

Malang sekali sesetengah pihak menganggap ini merupakan pendapat mazhab al-Syafi’i. Jawapan kita dalam masalah ini;

Pertama: pendapat siapa pun, mazhab apa pun jika berbeda dengan nas Allah dan rasulNya, maka apa yang ditegaskan oleh Allah dan rasul itu yang diperintahkan untuk kita pegang.

Kedua: karangan para ulama mazhab al-Syafi’i juga menunjukkan mereka tidak pernah menyukai perbuatan ini. Tokoh besar mazhab al-Syafi’i, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) umpamanya dalam Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab, 5/320, Beirut: Dar al-Fikr.)

Demikian tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i, antaranya al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji menulis dalam kitab mereka: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati adalah mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya”.

Tambah mereka lagi: “Menyusahkan keluarga si mati dengan membuat makanan dan menghimpunkan orang ramai kepada makanan –seperti yang menjadi kebiasaan di zaman kini- adalah bid’ah yang bertentangan dengan sunnah dengan percanggahan yang amat sangat”. (Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 1/263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Bahkan kitab-kitab jawi Nusantara juga bertegas dalam masalah ini. Antara apa yang disebut oleh Syeikh Daud al-Fatani dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (Daud al-Fatani, Bughyah al-Talab 2/34). Demikian juga kenyataan yang sama dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin (m.s 87), al-Syeikh Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi (7/130).

Kata Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah: Para imam (ilmuan besar) bersepakat tentang kemakruhan keluarga si mati menyediakan makanan untuk orang ramai lalu mereka berhimpun untuk jamuan tersebut. Demikian itu menambahkan kesusahan dan kesibukan keluarga si mati, juga menyerupai amalan masyarakat jahiliyyah. Ini berdasarkan hadis Jarir: “Kami menganggap berhimpun kepada keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengebumian mayat termasuk dalam (hukum) al-Niyahah (meratapi mayat)”. Sebahagian ulama berpendapat perbuatan ini adalah haram”. (Fiqh al-Sunnah 1/508)

Maka perbuatan mengadakan kenduri sempena kematian adalah bid’ah, menyanggahi sunnah Nabi s.a.w.

renungkan

كُنَّا نَرَى الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنْ النِّيَاحَةِ

sedikit renungan bersama

Hadith Fadilat Nisfu Sya’ban

Soalan: Apakah terdapat hadis yang menceritakan kelebihan malam nisfu Sya’ban dan amalan yang patut dilakukan?

Jawapan: Ya, terdapat hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban, tetapi amalan-amalan tertentu khas untuk malam tersebut adalah tidak sabit daripada Nabi s.a.w. Antara hadith yang sahih mengenai nisfu Sy`aaban adalah:

يطلع الله تبارك وتعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, Riyadh: Maktabah al-Ma`arf).

Hadith-hadith tentang Nisfu Sya’ban tidak mengajar kita apakah bentuk amalan khusus malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca yasin sempena Nisfu Sya’ban, solat-solat khas tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

renungan bersama

awapan:Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu saya terangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak. Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar. Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr. Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asr, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga Maghrib dan Isyak.

Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, Ibn ‘Abbas menyebut: “RasululLah s.a.w solat jamak Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir”. Ditanya Ibn ‘Abbas mengapa baginda melakukan demikian?. Jawabnya:“Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya”.Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga disebut: “Baginda jamakkan solat tidak disebabkan katakutan atau hujan”.

Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.

Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang tidak ada pilihan lagi.

Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar. Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menanaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika benar-benar menyukarkan dan dia tidak mempunyai pilihan maka ketika itu diizin.

Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut ).

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin